MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN ISLAM MELALUI BIOTEKNOLOGI


Pengenalan

Bioteknologi adalah sebarang teknologi yang menggunakan sistem biologi, organisma hidup untuk membuat atau mengubahsuai produk untuk kegunaan yang spesifik untuk meningkatkan kualiti hidup manusia. (Rujukan : http://whatis.techtarget.com/definition/biotechnology)

Bioteknologi juga menggunakan teknik-teknik termaju dalam bidang sains hayat untuk membangunkan produk yang boleh dikomersialkan Dengan menggunakan sistem biologi yang terdiri dari sel, tisu atau molekul-molekul biologi (contoh: enzim dan antibodi), maka produk baru boleh dihasilkan. (Rujukan : http://en.wikipedia.org/wiki/Biotechnology) Bidang yang terlibat antaranya ialah Genetik, Biokimia, Botani, Biologi Sel, Mikrobiologi, Perubatan, Zoologi, Biologi Molekul, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Bioproses, Pengkulturan Sel Haiwan dan Tumbuhan dan Bio Informasi.

Dengan lain perkataan, bioteknologi merupakan aplikasi ilmu pengetahuan dan teknologi yang terbentuk dari pengamatan dan kefahaman manusia terhadap jisim-jisim (bio-jisim) dan proses-proses yang sedia wujud di dalam alam semesta ini. Allah telah menyempurnakan penciptaan alam semesta dengan bio-jisim dan proses-proses yang sedia dieksploitasi oleh manusia untuk kegunaan dan kelangsungan hidup mereka. Al-Quran dipenuhi dengan berbagai ayat yang mengingatkan manusia untuk mengkaji dan merenung alam sekelilingnya, dari sekecil-kecil mikrob kepada berbagai spesis haiwan dan tumbuhan sehinggalah sebesar ekosistem untuk berbagai kegunaan dan penyelesaian kepada kehidupan manusia.

Ini terbukti dari beberapa petikan ayat al-Quran yang menyeru manusia supaya melihat ciptaan Allah (Surah al-Mulk: ayat 3) , memerhati kebesaran ciptaan Allah (Surah al-an’Aam: ayat 99) di samping mengembara/melancong sambil menghayati keluasan jajahan takluknya  (Surah al-Ankabut : ayat 20). Memerhati bukan sekadar melihat dengan mata kepala tetapi mencari kebenarannya atas dasar TAWHID, iaitu mengesakan Allah. Konsep pengamatan ini berbeza dengan Sains Barat yang mencapai ilmu pengetahuan tentang alam tabii melalui panca indera semata-mata.

Di Malaysia, negeri kelantan khususnya bioteknologi yang dipelopori antaranya berteraskan kepada Bioteknologi Pertanian yang berfokuskan kepada sektor-sektor :

  1. Tanaman untuk makanan (crops)
  2. Haiwan ternakan (livestock)
  3. Marin dan akuakultur (marine & aquaculture)
  4. Hasilan semulajadi (natural products).

Keutamaan untuk tanaman Makanan ialah dalam kajian :

  • Pengkulturan tisu tumbuhan (Tissue Culture)
  • BioRacun dan BioKawalan (Bio Pesticide and Bio Control)
  • BioBaja (Bio Fertilizer)
  • Tanaman transgenik
  • Penanda molekul untuk pemilihan tanaman baka baik

Haiwan ternakan merujuk kepada haiwan domestik yang dibela untuk daging, telur dan hasil sampingan (contoh: ayam, itik, kambing, biri-biri, lembu). Keutamaan untuk Makanan Ternakan Haiwan ialah dalam kajian :

  • Pembuatan silaj (makanan ternakan) dan vitamin
  • Permanian berhadas
  • Diagnosis penyakit
  • Pemindahan embrio
  • Modifikasi genetik

Keutamaan untuk Marin dan AkuaKultur ialah dalam kajian

  • Kerintangan terhadap persekitaran kolam yang tidak sesuai
  • Kadar tumbesar organisma akuatik
  • Kerintangan penyakit

Keutamaan untuk Hasilan Semulajadi (contoh: herba, tumbuhan liar, kulat, bakteria) ialah dalam kajian :

  • Kosmetik dan kosmoseutikal
  • Penemuan agen terapeutik (mengubati penyakit)
  • Makanan berfungsi (mengekalkan kesihatan umum dan pencegahan penyakit)
  • Nutriseutikal (mengawal penyakit)
  • Merekabentuk bahan kimia baru

Diharapkan agar dengan adanya kesedaran bioteknologi di negeri Kelantan, harapan untuk melestarikan alam ciptaan Allah taa’la dengan memanfa’atkannya ke arah meningkatkan hasil pendapatan petani, penternak dan nelayan, di samping ke arah kehidupan yang lebih baik tidak akan menjadi igauan, tetapi satu keazaman untuk menjadi kenyataan.

 

 

 


LAMAN WEB SEDANG DIBANGUNKAN. SEBARANG KESULITAN AMAT DIKESALI.