Info Dapur Hijau

Apa itu Dapur Hijau

Program Dapur Hijau merupakan program yang berkonsepkan pendedahan berkaitan kaedah penanaman secara organik di sekitar kawasan kediaman. Program ini dapat membantu meringankan bebanan perbelanjaan harian disamping dapat menjana pendapatan sampingan.

Pada peringkat dasarnya, Program Dapur Hijau ini adalah cetusan daripada Kerajaan Negeri Kelantan dibawah Portfolio Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi, Teknologi Hijau, Industri Asas Tani dan Alam Sekitar dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan memandangkan sasaran utamanya adalah golongan wanita.

Antara objektif utama program ini adalah untuk membantu golongan Armalah (Ibu Tunggal) dan golongan berpendapatan rendah untuk mengurangkan kos sara hidup diri dan keluarga serta membantu meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah.
Program Dapur Hijau adalah program yang berkonsepkan penanaman secara Urban Farming atau Home Gardening yang telah lama dipraktikkan di negara asing seperti Indonesia, Jepun, Thailand, Rusia, US dan negara-negara lain.

Kaedah penanaman yang diketengahkan adalah berkonsepkan organik, kitar semula dan mesra alam.
Melalui program ini, peserta yang terlibat didedahkan dengan pelbagai kaedah penanaman secara organik serta cara penghasilan baja organik dan kawalan organik.