Bioteknologi Pertanian

MAKMAL TEKNOLOGI KULTUR TISU

tc1

Pengenalan teknologi kultur tisu tumbuhan dalam perkembangan bioteknologi di Kelantan adalah hasil perbincangan tiga hala antara Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang bermula pada 2 Jun 2008.

tc2

Hasil perbincangan dan kerjasama ketiga-tiga pihak, Universiti Sains Malaysia akan memindahkan teknologi kultur tisu tumbuhan kepada Kerajaan Negeri kerana KBCSB mempunyai kemudahan, peralatan dan keperluan yang lengkap.

tc3

Teknik kultur tisu tumbuhan yang kian popular masa kini sebenarnya melalui proses yang mudah. Sebahagian kecil tumbuhan sama ada daun, batang (organ) atau sel-sel diletakkan di dalam medium kultur bernutrien bagi membolehkan proses tumbesaran dalam keadaan steril atau aseptik.

 

Tanaman yang disteril itu adalah bebas daripada serangan mikroorganisma seperti kulat, bakteria serta virus bagi membentuk pertumbuhan yang lengkap.

Masih ramai yang tertanya-tanya tentang kelebihan proses kultur tisu ke atas tumbuhan. Teknologi ini dicipta untuk menggalakkan pertumbuhan sesuatu spesis tanaman secara seragam serta berbuah dan masak pada masa yang sama.

Melalui teknik ini pekebun dan petani dianggarkan akan mendapat pendapatan serta pulangan yang berlipat ganda kerana hasil tanaman yang akan dihasilkan adalah dari baka yang berkualiti tinggi. Melalui teknologi kultur tisu tumbuhan ini juga para pekebun dan petani dapat mengurang serta mengelakkan risiko kerosakan pada tanaman mereka kerana spesis pokok yang dipilih mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Teknik ini dibangunkan untuk memudahkan pengkomersilan kultur baru dalam mengaplikasi pertanian dengan kejuruteraan genetik yang merangkumi pembaikpulihan tanaman sama ada dari segi nilai nutrisi, kawalan serangga dan kultur tumbuhan bebas virus.

Kaedah ini menjadi alternatif untuk mengekalkan pertumbuhan tanaman yang jarang ditemui dan mulai pupus. Selain itu, ia juga berguna dalam bidang farmaseutikal untuk menghasilkan ginseng dan taxol. Kultur tumbuhan yang siap diproses juga mudah dan selamat untuk dieksport.

Apa yang dikatakan dengan teknologi dalam pembuatan kultur tisu adalah dari sudut penyelenggaraan organisasi tisu dan kalus atau perkembangan jisim sel yang tidak tersusun dihidupkan dalam medium sintesis.

Proses awal kultur tisu dilakukan dengan memilih induk tumbuhan yang berkualiti sebelum membentuk klon-klon menyerupainya. Progeni yang tumbuh dengan sihat kemudiannya dipindah dan ditanam dalam suhu dan kelembapan yang terkawal serta disteril.

Spesis tanaman yang diyakini kejayaannya melalui teknik kultur tisu ialah pokok pisang. Tanaman pisang merupakan tanaman ekonomik yang kedua terpenting selepas durian dalam sektor pertanian negara.

Di Malaysia, terdapat beberapa makmal komersil yang menghasilkan variati anak benih pisang termasuklah di makmal yang dimiliki KBCSB sendiri yang beroperasi di kampung Labok, Batu 23, Machang, Kelantan.

Jenis pokok pisang keluaran KBCSB adalah seperti pisang berangan, pisang kebatu, pisang nangka, pisang cavendish, pisang awak-awak, pisang tanduk, pisang rastali dan pisang abu. Selain itu tanaman hiasan (ornamental plants) turut dihasilkan seperti keladi hiasan dan orkid.

Manakala harga yang ditawarkan juga berpatutan antara RM 1.80 hingga RM2.50 bagi setiap pokok dengan ketinggian dua kaki. Namun begitu, bekalan anak benih pisang berkualiti masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran yang tinggi. Sehubungan dengan itu, kami telah mensasarkan penghujung Disember 2013, kapasiti pengeluaran anak pisang akan mencapai tahap optimum pengelurannnya. InsyaAllah berdasarkan rekod dan prestasi semasa, KBCSB yakin akan mencapai sasaran ini.